JOHOR BAHRU, 9 JULAI - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor akan terus mengesan sindiket tonto yang digunakan para pengusaha lori di negeri ini untuk bertindak menyalurkan maklumat berkaitan operasi dilaksanakan JPJ Johor.

Pengarahnya Razali Wagiman berkata sindiket berkenaan kini lebih licik dan menjalankan kegiatan mereka secara senyap dalam menggagalkan usaha penguatkuasaan undang-undang jalanraya.

"Kita dapati mereka (pengusaha lori) yang membawa muatan batuan masih lagi menggunakan khidmat tonto, namun, ia tidak secara terang-terang kerana mereka juga takut dengan tindakan penguatkuasaan.

"Bagaimanapun, kita (JPJ Johor) dapat tahu mereka masih menggunakan khidmat tonto apabila kita turun padang dan operasi yang kita jalankan gagal mendapat sasaran, jadi kita tahu ada tonto terlibat," katanya yang ditemui pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri JPJ Johor, di sini, hari ini.

Razali berkata pihaknya juga menubuhkan Pasukan Khas Risikan JPJ Johor bagi memantau kegiatan membawa lori secara lebih muatan selepas Aidilfitri.

Menurutnya, pasukan khas itu membabitkan anggota berpakaian preman, selain melaksanakan operasi serta penguatkuasaan terhadap pesalah jalan raya terutama lori membawa muatan berlebihan.

"Penguatkuasaan ini juga kita laksanakan selepas kita mendapat aduan daripada orang awam yang bimbang terhadap keselamatan keluarga apabila kenderaan berat ini membawa muatan berlebihan selain dipandu terlalu laju ketika tidak membawa sebarang muatan," katanya.

Katanya, notis siasatan dan saman turut dikeluarkan kepada kenderaan berat membawa muatan berlebihan yang dilaksanakan mengikut Kaedah 89 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara. - BERNAMA