TELUK INTAN, 9 JULAI - Seorang lelaki dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Bernam, Hutan Melintang dekat sini pada Selasa lalu (3 Julai).

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata bertindak atas maklumat risikan, suspek yang merupakan warga tempatan berusia awal 30-an itu ditahan pada pukul 2 petang ketika sedang berehat di rumah itu.

"Dalam serbuan itu, kita merampas 19 paket plastik lutsinar disyaki berisi dadah heroin dengan anggaran berat 1,704.79 gram serta 11 paket plastik lutsinar disyaki berisi dadah Methamphetamine dengan anggaran berat 100.51 gram, kesemuanya dianggarkan bernilai lebih kurang RM61,000," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Mohd Marzukhi, suspek yang mempunyai satu rekod lampau kes narkotik dipercayai terlibat dalam kegiatan tokan dadah lebih kurang beberapa bulan lalu.

Dia kini ditahan reman dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sementara itu di Tanjung Malim, seramai 22 penumpang berdepan detik cemas apabila bas persiaran yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di KM367.6 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah Selatan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Muallim, Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata siasatan awal mendapati pemandu bas persiaran berusia 47 tahun itu telah melanggar bahagian belakang sebuah lori yang bergerak perlahan di lorong kiri jalan.

Akibat pelanggaran itu, empat warga emas penumpang bas yang berusia antara 66 hingga 79 tahun mengalami kecederaan ringan manakala pemandu dan penumpang lain terselamat.

"Bahagian hadapan kiri bas itu rosak manakala lori berkenaan pula dipercayai tidak berhenti di lokasi kemalangan dan usaha mengesan pemandu lori itu sedang dilakukan bagi membantu siasatan," katanya. - BERNAMA