KOTA BELUD, 28 JUN - Ketua Upko Bahagian Kota Belud, Ewon Benedick mahu semua pemimpin dan anggota parti itu bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan semua perancangan membangunkan komuniti dan kawasan luar bandar, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, berjalan lancar.

Beliau, yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, berkata dengan adanya semangat berpasukan serta ikatan perpaduan kukuh menerusi pembudayaan semangat "mogitatabang" pastinya semua perancangan dan permasalahan rakyat dapat diselesaikan dengan baik.

"Saya menyambut baik sesiapa sahaja menyertai Upko atau (mana-mana) parti dalam kerajaan. Saya tidak mahu membina pasukan Upko sahaja semata-mata tetapi bekerjasama dengan semua parti lain dalam kerajaan dan mendengar suara atau cadangan daripada pelbagai pihak sama ada secara individu atau kumpulan.

"Ini juga selaras dengan aspirasi saya sebagai wakil rakyat bahawa perpaduan dan persefahaman amat penting untuk terus diperkukuhkan sebagai asas mengecapi nikmat kemajuan," katanya pada perasmian Pelancaran Serentak Mesyuarat Agung Cawangan Upko Seluruh Bahagian Kota Belud di sini hari ini.

Ewon, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, beliau telah mengenal pasti 25 warga Kadamaian yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam pelbagai bidang menyertai Pasukan Kadamaian bagi merencanakan pelan pembangunan komuniti dan kawasan terlibat.

Beliau berkata Pasukan Kadamaian akan mengadakan perbincangan pertama pada 6 Julai ini, yang antara lain merumuskan perancangan bagi Model Pembangunan Ekonomi Desa Kadamaian, dan dalam enam bulan pertama, tumpuan akan diberikan untuk merancang dengan lebih strategik supaya empat tahun seterusnya semua perancangan dapat dilaksanakan dengan baik.

"Saya juga menyambut baik sebarang input, pandangan dan aspirasi daripada rakan-rakan pimpinan, ADUN Sabah yang lain dan para pegawai daerah bagaimana Program Pembangunan Ekonomi Desa oleh KPLB (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) Sabah dapat diperkasakan di kawasan masing-masing.

"Bagi kawasan Kadamaian, saya telah berbincang dengan Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) beberapa perkara penting untuk penduduk di sini dan beliau setuju semua syor yang saya nyatakan termasuk memperkenalkan pembinaan jalan luar bandar menggunakan teknologi berasaskan getah yang pertama di Sabah.

"Ketua Menteri meminta supaya ia dilaksanakan seberapa segera," katanya, dan menambah, Lembaga Getah Malaysia akan memberi taklimat kepada KPLB dan Kementerian Pembangunan Infrastruktur mengenai teknologi itu pada 9 Julai ini.

Ewon berkata KPLB juga akan memperluaskan Program Pembangunan Ekonomi Desa di seluruh negeri dan berharap setiap kawasan dapat memberikan cadangan mengenai produk berpotensi dimajukan di kawasan masing-masing.

"Bagi kawasan Kadamaian, saya mahu 16 mukim DUN Kadamaian masing-masing memperkenalkan produk sendiri dan mempunyai mini kilang memproses produk berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, Ewon turut memperkenalkan bantuan kebajikan untuk setiap kelahiran RM200 dan kematian RM300 untuk semua penduduk Kadamaian tanpa mengira latar belakang fahaman politik dengan menggunakan peruntukan touchpoints ADUN Kadamaian bermula Jun 2018. - BERNAMA