KUALA LUMPUR, 2 MEI - Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperluaskan penggunaan pembayaran dalam talian, e-pembayaran, di 957 Klinik Kesihatan seluruh negara untuk memudahkan transaksi pembayaran.

Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Dr Chen Chaw Min berkata program itu akan dilaksanakan secara berfasa bermula dengan 12 klinik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta 45 klinik di Selangor bermula bulan ini.

"Pada masa ini, bayaran bagi perkhidmatan kesihatan yang diberikan di Klinik Kesihatan boleh dibuat secara tunai sahaja di kaunter-kaunter pendaftaran.

"Bagaimanapun, selaras dengan seruan kerajaan agar Malaysia menjadi sebuah negara ?masyakat tanpa tunai' mulai 2050, kementerian telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan kaedah bayaran bil secara e-pembayaran (dalam talian) di klinik-klinik kesihatan," katanya ketika merasmikan pelaksanaan program itu di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama RHB Islamic Bank Bhd itu turut dihadiri Pengarah Urusannya, Datuk Adisadikin Ali.

Chen berkata kaedah pembayaran secara dalam talian telah disediakan di 115 hospital, satu Pejabat Kesihatan Daerah dan empat institusi kesihatan terpilih di seluruh negara.

Katanya, bagi tempoh Januari sehingga Mac tahun ini, sebanyak RM3.14 juta kutipan telah dicatatkan melalui bayaran dalam talian menerusi 4,550 transaksi di semua institusi tersebut. - BERNAMA