KUALA LUMPUR, 11 APR - Nelayan Sekinchan, Chua Kee Chuan dibebaskan oleh Pihak Berkuasa Indonesia pada hari ini setelah ditahan di Penjara Labuhan Deli , Medan, Indonesia kira-kira 2 tahun yang lalu.

Pengerusi Barisan Nasional Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata Chua Kee Chuan ditahan bersama dua nelayan yang lain oleh Pihak Berkuasa Indonesia kerana dipercayai menceroboh perairan Indonesia.

" Chua Kee Chuan sepatutnya pulang dan dibebaskan bersama dua nelayan yang lain iaitu Chua Lee Teck dan Heng Chee Yong pada 16 Jun 2016 yang lalu tetapi akibat hasutan oleh kepimpinan DAP Sekinchan, Chua Kee Chuan tidak dapat dibebaskan kerana DAP Sekinchan menghasut keluarga mereka sehingga mereka enggan berurusan dengan saya untuk membebaskan tertuduh," kata jamal.

" Akibat tindakan DAP Sekinchan berkenaan, Chua Kee Chuan terpaksa meringkuk selama dua tahun di penjara berkenaan, jika keluarga mereka segera berurusan dengan saya sudah tentu Chua Kee Chuan akan dibebaskan terlebih awal," kata jamal lagi.

Menurut Jamal, ketika dua nelayan yang ditahan berkenaan dibawa pulang ke Sekinchan, Ibu kepada Chua Kee Chuan berjumpa dengannya dan merayu untuk membantu membebaskan anaknya.

Jamal memberitahu, ibu Chua Kee Chuan telah menceritakan perkara sebenar tentang apa yang telah berlaku dan Jamal serta Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi meminta campur tangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berurusan dengan Presiden Indonesia, Jokowi Widodo untuk membebaskan nelayan Sekinchan itu pada tahun lepas.

Hasilnya rundingan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia, Joko Widodo semasa Rundingan Tahunan ke-12 Malaysia-Indonesia di Kuching, Sarawak pada November tahun lepas telah bersepakat dan bersetuju untuk membebaskan mana-mana nelayan yang telah ditahan kerana menceroboh kawasan perairan masing-masing.

Selepas kesepakatan dan persetujuan itu tercapai, satu mesyuarat berhubung pembebasan nelayan-nelayan ini telah diadakan di antara Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dengan Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti pada 11 Jan lepas.

Menerusi mesyuarat tersebut, kerajaan Indonesia telah bersetuju untuk membebaskan nelayan-nelayan Malaysia yang telah ditahan secara berperingkat bermula Februari lalu.

Akhirnya pihak Indonesia membuat keputusan untuk melepaskan Encik Chua Kee Chuan daripada tahanan di Penjara Labuhan Deli, Medan, Indonesia pada hari ini. - KITAIKINI