KUALA KANGSAR, 9 APR - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan mengisytiharkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13 Perak, berkuat kuasa hari ini, pada istiadat menzahirkan pengumuman pembubaran itu, di Istana Iskandariah, di sini.

Pada majlis itu, baginda menitahkan kesemua parti politik, terutama barisan pimpinan politik, perlu mencerminkan sifat bertanggungjawab pada setiap masa dengan mengutamakan aspek keselamatan, ketenteraman awam dan perpaduan warga.

"Berlatarbelakangkan pengalaman 13 kali pilihan raya umum sebelum ini, warga wajib mempamerkan kebijaksanaan berpolitik dengan mengamalkan budaya demokrasi secara matang," titah baginda.

Baginda menitahkan supaya isu agama, kaum, budaya dan bahasa tidak disensasikan dalam mendapatkan sokongan pengundi sehingga menjejaskan hubungan harmoni dan perpaduan.

"Pada setiap masa, wajib dipelihara dan wajib dipastikan, tidak diucap sebarang perkataan, dan tidak dilakukan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan persengketaan di antara warga.

"Keselamatan negara dan ketenteraman awam terlalu berharga untuk dikorbankan disebabkan matlamat politik jangka pendek," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut menitahkan agar tidak dipersulitkan tugas dan ditambah bebanan pasukan keselamatan dengan mencetuskan perkara yang boleh menjejas ketenteraman awam.

Baginda bertitah pihak penguatkuasaan undang-undang perlu mengambil tindakan tegas dan pantas terhadap sebarang perbuatan mana-mana pihak yang boleh menjejas ketenteraman awam.

"Integriti pihak penguatkuasaan undang-undang hendaklah dipelihara dengan mempamerkan amalan penguatkuasaan berlandaskan undang-undang secara adil dan saksama, yang tidak memihak dan tidak mempamerkan sikap partisan kepada mana-mana kumpulan, dan berpegang kepada prinsip kesetiaan kepada Raja dan Negara," titah baginda.

Sultan Nazrin menyeru agar semua pihak dan setiap warga membantu memastikan proses pilihan raya berjalan aman dan tenteram dengan berteraskan semangat meluhurkan Perlembagaan, mendaulatkan undang-undang, serta kesopanan dan kesusilaan.

"Apa juga penentuan yang menjadi pilihan rakyat, berpeganglah kepada prinsip kepercayaan kepada Tuhan. Bahawa segala yang berlaku dan tidak berlaku, dan apa jua pencapaian atau tidak pencapaian rancangan, adalah di bawah penentuan Ilahi," titah baginda.

Titah baginda, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu melaksanakan tugas secara profesional, telus dan berintegriti dalam memastikan kelangsungan pilihan raya tidak dipertikaikan.

"Pilihan raya adalah satu proses yang memberi hak dan peluang kepada warga yang wajib dihormati, dihargai dan tidak dinafikan untuk memilih kerajaan.

"Selaras dengan Perkara 113(1) Perlembagaan Persekutuan, penentuan tarikh mengadakan pilihan raya umum ke-14 terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya," titah baginda.

Baginda bertitah semua pihak wajib memberikan kerjasama untuk membolehkan SPR melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan sebaik mungkin. - BERNAMA