SEMPORNA, 9 APR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Barisan Nasional dapat mengekalkan kerusi Parlimen Semporna dalam pilihan raya umum akan datang atas keyakinannya ia mendapat sokongan rakyat.

Menurut beliau, walaupun rakyat di kawasan itu menghadapi dugaan dan cabaran kebelakangan ini (merujuk kepada tindakan Datuk Seri Shafie Apdal keluar daripada UMNO) tetapi bumi Semporna akan terus kekal dalam BN. Shafie kini mengetuai parti pembangkang Parti Warisan Sabah.

"Saya terharu dengan sambutan yang cukup hangat pada kunjungan saya hari ini ke Semporna dan terharu kerana rakyat Semporna masih setia kepada BN," katanya pada majlis pelancaran Pusat Pelancongan Antarabangsa Semporna di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Najib turut menyerahkan geran tanah anak negeri kepada 1,000 orang penerima dan mengisytiharkan status Bum-Bum sebagai Pejabat Daerah Kecil.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, pemangku Ketua UMNO Bahagian Semporna Datuk Nasir Tun Sakaran dan Ketua Penerangan UMNO Semporna Datuk Ramlee Marahaban. - BERNAMA