KUALA LUMPUR, 20 APR - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menganjurkan Misi Peningkatan Eksport (EAM) bagi mempromosi dan menyokong pengeksport tempatan dalam produk mesin dan perkhidmatan berkaitan Industri 4.0, di pameran perdagangan Hannover Messe 2018, di Jerman.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Shahreen Zainooreen Madros akan mengetuai EAM. Beliau disertai 16 syarikat dengan 32 perwakilan, untuk pameran perdagangan teknologi industri terbesar dunia dari 23 hingga 27 April itu.

"Malaysia akan mempamerkan keupayaannya dalam bidang seperti penyelesaian kejuruteraan, kejuruteraan ketepatan tinggi dan mesin untuk sektor seperti automasi semikonduktor, sarung tangan getah, tekstil dan loji berat seperti loji pembuatan keluli.

"Syarikat Malaysia juga akan mempromosikan penyelesaian berkaitan sistem automasi dan robot serta sistem dan penyelesaian berkaitan pengurusan data dan risikan perniagaan. Pavilion Malaysia akan beroperasi di Balai Pengemudian Industri dan Pemacu Penggerak Automatik Bersepadu," kata MATRADE dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shahreen berkata beberapa syarikat yang terlibat dalam EAM sudah mengeksport produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran Eropah, dan berminat memanfaatkan penyertaan mereka untuk meningkatkan lagi kehadiran di rantau ini.

"Penyertaan Malaysia di Hannover Messe merupakan sebahagian daripada usaha MATRADE untuk menyerlahkan dan menonjolkan keupayaan Malaysia dalam penyelesaian, yang dibangunkan sendiri dalam negara, yang berkaitan dengan kilang-kilang pintar Industri 4.0, robotik digital dan automasi kepada rakan kongsi perniagaan global yang berpotensi.

"Kami merancang sesi padanan perniagaan untuk syarikat Malaysia, yang diharapkan boleh membawa kepada kerjasama, perkongsian dan usaha sama. Ini penting kerana usaha mewujudkan akses pasaran bagi teknologi dan penyelesaian industri tidak dapat dilakukan dengan mudah," katanya.

Mohd Shahreen berkata sejak dahulu, eksport yang berkaitan dengan teknologi Malaysia lebih kepada peralatan dan komponen, namun negara ini juga kukuh di kawasan lain, dan inilah pentingnya untuk mengetengahkan dan meniangkatkan rantaian nilai dan mewujudkan jenama yang akan dikenali.

"Penyertaan itu juga akan memberi ruang kepada syarikat Malaysia untuk mendapat pendedahan ke atas trend terbaharu industri, terutama yang berkaitan dengan Industri 4.0, dan bagi mereka untuk mengekalkan daya saing," katanya.

MATRADE berkata jumlah dagangan Malaysia dalam jentera, peralatan dan komponen pada 2017 bernilai US$27.64 bilion (US$1= RM3.89), dengan eksport meningkat 3.1 peratus kepada US$9.34 bilion.

"Barangan utama yang dieksport pada tahun lepas termasuk jentera dan peralatan khusus untuk industri tertentu (terutama industri semikonduktor), peralatan pemanasan dan penyejukan dan peralatan (terutama mesin pendingin hawa) dan pam (selain untuk cecair), pemampat, kipas, sentrifugal dan peralatan.

"Semua ini secara terkumpul menyumbang 55.3 peratus daripada eksport jentera, peralatan dan bahagian," katanya.

MATRADE berkata lima destinasi eksport utama Malaysia untuk jentera serta peralatan ialah Singapura, Amerika Syarikat, Thailand, Indonesia dan China. negara-negara terbabit secara terkumpul menyumbang 49.3 peratus daripada jumlah eksport jentera, peralatan dan bahagian.

"Pada tempoh yang sama, Jerman ialah rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia dan destinasi eksport ke-11 untuk eksport jentera dan peralatan.

"Jumlah dagangan Malaysia dengan Jerman juga meningkat 10.9 peratus kepada US$12.33 bilion pada 2017," katanya. - BERNAMA