KUALA LUMPUR, 4 MAC - Pengerusi Barisan Nasional Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos memberi keyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) Sungai Besar sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) yang dijangka tidak lama lagi.

Menurut Jamal, latihan-latihan telah diberikan kepada jentera parti yang dimulakan di peringkat cawangan-cawangan yang meliputi lima zon di Parlimen Sungai Besar.

" Tiga bulan yang lalu saya sudah pun selesai berjumpa hampir keseluruhan ahli-ahli umno di peringkat cawangan Parlimen Sungai Besar dan kali ini kami memberi tumpuan pula pada Pusat Daerah Mengundi (PDM)," kata jamal.

" Hasil daripada taklimat dan kursus yang berterusan serta mendapat sambutan yang cukup menggalakkan oleh jentera parti, boleh di katakan saya cukup berpuas hati sepenuhnya, lebih-lebih lagi kepada Jalinan Rakyat (JR) yang terdiri daripada wanita umno dan juga wanita MCA yang bertungkus lumus untuk memastikan kemenangan BN di Parlimen Sungai Besar pada PRU 14 kelak," kata jamal lagi.

Dalam pada itu, Jamal berharap jentera parti di bahagian-bahagian lain juga dapat bergerak dengan lebih awal sebelum parlimen dibubarkan supaya berada di dalam keadaan yang siap sedia. - KITAIKINI