SANDAKAN, 2 MAC - Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura Datuk Au Kam Wah dijangka memberi laluan kepada pemimpin muda untuk bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Antara yang disebut-sebut akan menggantikannya adalah Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Elopura Chan Tzun Hei, 35, yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Sabah.

Ini diperkuatkan lagi apabila Au, 55, dalam satu majlis di sini pada Disember tahun lepas menyatakan keputusan untuk tidak bertanding pada PRU14 bagi memberi peluang kepada generasi muda yang diyakini lebih baik, bertenaga dan berkualiti.

Keputusan itu diambil beliau kerana berpendapat ini adalah masa yang sangat sesuai untuk memberi peluang kepada golongan generasi muda yang lebih berilmu pendidikan dan mempunyai hasrat yang tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat.

Au menceburi bidang politik sejak tahun 1985 iaitu ketika berumur 22 tahun seterusnya berjaya menyandang jawatan sebagai ADUN Elopura sejak 2004 dan telah menang sebanyak tiga penggal.

Beliau difahamkan telah memaklumkan hasratnya itu kepada Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong dan Pengerusi BN Sabah Tan Sri Musa Aman.

Pada PRU13, Au memenangi kerusi DUN Elopura dengan majoriti 251 undi selepas mengalahkan calon DAP Hiew Vun Zin dan Liau Fook Kong (SAPP).

Dalam pada itu, Chan tidak asing kepada masyarakat di kawasan Elopura kerana sudah menceburi bidang politik sejak 15 tahun lepas.

Beliau merupakan PPM termuda di negeri ini dan pengalamannya, khususnya menjadi orang penting kepada Au sejak dilantik menjadi wakil rakyat di kawasan itu menjadi faktor penting Au mencadangkan Chan sebagai penggantinya kepada pucuk pimpinan Gerakan dan BN Sabah.

Ketika diminta mengulas perkara itu, Chan memberitahu Bernama di sini, beliau bersedia menggalas tanggungjawab itu jika diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan BN.

"Sebagai anak jati daerah ini dan minat saya terhadap politik untuk menyumbang jasa kepada pembangunan daerah ini dan masyarakat, sudah tentu bersedia menyahut cabaran itu.

"Beliau (Au) merupakan mentor saya dalam bidang politik kerana bimbingan dan sokongan beliau penting bagi saya untuk matang dalam bidang ini. Jika diberi peluang mewakili DUN Elopura pada PRU nanti, ia satu penghargaan yang tinggi saya terima dalam kerjaya politik," katanya yang memiliki Sarjana Eksekutif Perdagangan (Pengurusan Umum) dari Universiti Terbuka Malaysia (OUM) tahun lepas.

Menurutnya sejak PRU13 lagi, Au telah mula menyatakan hasratnya untuk tidak bertanding pada pilihan raya seterusnya dan meminta beliau untuk bersedia sejak itu.

Bagi Chan yang menjadi PPM sejak 11 tahun lepas, keputusan sama ada dicalonkan atau tidak pada PRU14 nanti bukan menjadi keutamaan kepadanya kerana pada masa sekarang tumpuan terus diberikan kepada tugasnya sebagai PPM untuk berkhidmat kepada masyarakat di kawasan DUN itu.

Beliau berkata kawasan DUN Elopura adalah penting kepada daerah ini khususnya dalam faktor ekonomi disebabkan mempunyai 10 Bandar Satelit, 40 taman perumahan dan lima kawasan perindustrian.

Menurutnya kewujudan 10 Bandar Satelit itu khususnya di kawasan Batu 4 telah menjadi lokasi tumpuan masyarakat di daerah ini kerana menyediakan banyak premis perniagaan, perbankan dan hotel.

Katanya ia sekali gus menjana pendapatan kepada golongan peniaga yang membuka premis perniagaan dan perkhidmatan di kawasan itu.

Chan berkata dengan jumlah 40 taman perumahan di kawasan DUN itu, ia juga memerlukan cabaran dari segi memastikan penduduknya menerima kemudahan asas dalam tahap terbaik.

Beliau berkata berdasarkan bancian suku ketiga tahun lepas oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, terdapat 25,168 pengundi dalam kawasan DUN Elopura. - BERNAMA