PASIR PUTEH, 2 MAC - UMNO menyasarkan untuk membantu sehingga 400,000 rakyat kurang berkemampuan pada tahun ini menerusi 71 Program Jelajah Siri 2.0, kata Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata antara golongan sasaran termasuklah warga emas, ibu tunggal, veteran UMNO serta bantuan kepada pelajar berupa Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

"Bantuan itu selaras dengan prinsip UMNO yang membela rakyat sejak dari dahulu sekali gus menjawab tohmahan pembangkang yang mendakwa negara akan bangkrap," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan berupa bekalan makanan dan Sijil SSPN pada Program UMNO Bantu Rakyat peringkat UMNO Bahagian Pasir Puteh di Kampung Pulau Lima di sini, malam tadi.

Seribu peserta menerima bantuan itu yang antaranya mengandungi beras dan wang tunai pada majlis yang dirasmikan Anggota Dewan Undangan Negeri Selising Zulkifli Ali.

Shamsul yang juga Anggota Parlimen Lenggong berkata, pemberian itu menunjukkan parti dan kerajaan secara konsisten menunaikan janjinya untuk membantu rakyat sejak dari dahulu lagi.

Beliau berkata program bantuan itu akan diteruskan sepanjang tahun walaupun selepas pilihan raya umum berlangsung. - BERNAMA