KUALA LUMPUR, 1 MAC - Keuntungan bersih kumpulan MNRB Holdings Bhd (MNRB) bagi tahun kewangan (TK) selama sembilan bulan berakhir 31 Disember, 2017 (9BTK2018), melonjak 135 peratus kepada RM107.4 juta berbanding RM45.7 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Keputusan memberangsangkan itu didorong oleh prestasi kukuh dicatatkan oleh kedua-dua anak syarikat penginsurans semula dan takafulnya, Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re) dan Takaful Ikhlas Bhd (Takaful IKHLAS).

"Pendekatan strategik dan inisiatif perniagaan kami ternyata memacu pertumbuhan ketara di serata peringkat kumpulan," kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd Din Merican dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, aktiviti rasionalisasi perniagaan yang ketat di bawah Program Transformasi Perniagaan Penginsurans Semula (Re), T20, juga membuahkan hasil positif kepada syarikat dan terbukti menerusi peningkatan tuntutan dan nisbah gabungan selain lebihan penaja jaminan dan keuntungan bersih.

Mohd Din berkata, keuntungan bersih Malaysian Re bagi tempoh 9BTK2018 itu juga meningkat 64 peratus kepada RM70.1 juta berbanding RM42.6 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Peningkatan keuntungan bersih itu turut disumbangkan oleh nisbah tuntutan pada 65.5 peratus berbanding 70.5 peratus tahun lepas serta pendapatan pelaburan lebih tinggi berikutan persekitaran yang lebih baik pada 2017.

Takaful IKHLAS juga mencatat keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM31.9 juta berbanding kerugian RM7.5 juta, sebelum itu.

Pemulihan ketara itu didorong oleh peningkatan fi Wakalah perniagaan takaful am, pelarasan semula harga produk takaful keluarga dan pelbagai inisiatif bagi kecekapan kos.

"Kami berharap perniagaan Takaful kumpulan akan terus berkembang, khususnya segmen takaful am menerusi produk-produk baharu yang bakal dilancarkan tahun ini," katanya.

Berikutan selesainya proses penyusunan semula peringkat dalaman MNRB membabitkan pemindahan perniagaan takaful semula am dan keluarga daripada MNRB Retakaful Bhd kepada Malaysian Re pada 1 Disember, 2017, perniagaan takaful semula kumpulan itu kini dikendalikan oleh bahagian takaful semulanya, Malaysian Re Retakaful Division (MRRD).

Di bawah struktur baharu itu, sumbangan takaful semula kumpulan meningkat kepada RM28 juta pada 9BTK2018 berbanding RM17 juta, tahun sebelumnya.

"Bagi kemajuan masa depan, kami akan terus mengamalkan disiplin penaja jaminan yang berikutan persekitaran perniagaan yang mencabar. Pada masa sama, kami akan meneruskan usaha melaksanakan inisiatif strategik bagi manfaat kumpulan itu secara keseluruhannya," kata Mohd Din.

MNRB Holdings Bhd merupakan sebuah syarikat pegangan pelaburan dan antara anak syarikat milik penuhnya adalah Malaysian Re, Takaful IKHLAS dan Malaysian Re (Dubai) Ltd (MRDL).

MNRB tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia Securities Bhd. - BERNAMA