KUALA LUMPUR, 8 Jan - Datuk Seri Jamal Yunos malam tadi menghantar mesej pesanan suara di laman sosial 'Whatsapp' yang menyokong penuh keputusan Pakatan Harapan dalam pencalonan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Ke-7 (sementara) dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya jika Pakatan Harapan memenangi Pilihanraya Umum Ke 14 (PRU14) yang akan datang.

Jamal yang masih mengerjakan umrah bersama keluarga di Mekah memberitahu ini adalah keputusan yang cukup baik oleh Pakatan Harapan dan beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada Tun Mahathir dan Wan Azizah diatas pencalonan terbabit.

Semalam di Konvensyen Pakatan Harapan yang berlangsung di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan pencalonan jawatan terbabit yang disokong oleh beberapa komponen parti yang lain serta menjadikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Ke-8 selepas dibebaskan awal pada 11 Jun 2018 nanti.

Dalam pada itu, Saiffudin turut mengumumkan 165 kerusi bakal ditandingi empat parti pembangkang berkenaan kelak.

" Ia merangkumi 52 kerusi PPBM, 51 kerusi PKR, 35 kerusi DAP dan 27 kerusi AMANAH," kata Saifuddin.

"Persetujuan itu diperoleh melalui Perjanjian Muafakat PH yang dipersetujui oleh pemimpin utama keempat-empat parti berkenaan pada 6 Januari 2018 yang lalu," kata Saifuddin lagi. - KITAIKINI