KOTA KINABALU, 11 DIS - Anggota Parlimen Sepanggar Datuk Jumat Idris menyokong cadangan supaya lebih banyak golongan muda dicalonkan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO sangat memerlukan orang muda untuk berkhidmat dan meneruskan agenda pembangunan negara.

"Pelan peralihan (kepimpinan) harus berjalan untuk kesuburan parti. Saya berterus terang mengatakan bahawa pemimpin yang telah terlalu lama (berkhidmat) perlu memberi peluang kepada golongan muda (untuk menjadi calon)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Makan Malam Krismas Parlimen Sepanggar, di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Batu Sapi Khairul Firdaus Akhbar Khan baru-baru ini yang mencadangkan BN menampilkan lebih banyak muka baharu dan golongan muda sebagai calon pada PRU14.

Berhubung majlis makan malam berkenaan, Jumat berkata ia adalah acara tahunan untuk meraikan semua pemimpin gereja dan masyarakat di kawasan Parlimen Sepanggar yang menyambut Krismas pada 25 Dis ini.

"Bukan bersempena Hari Krismas sahaja program seumpama ini diadakan...kami juga adakan program seperti ini bersempena Tahun Baharu Cina, Hari Raya Puasa dan perayaan-perayaan lain," katanya. - BERNAMA