PUTRAJAYA24 Mac -  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meminta umat Islam dan masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat esok selepas menunaikan sembahyang Jumaat supaya terhindar daripada kesan kepanasan melampau.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha, dalam satu kenyataan sebentar tadi, berkata pihaknya mengambil maklum kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bahawa cuaca panas yang melanda negara sekarang berpunca daripada fenomena El Nino.

"Solat hajat ini bertujuan memohon supaya kita terhindar daripada kesan kepanasan melampau seperti strok haba dan keadaan cuaca di negara kita kembali pulih seperti sedia kala.

"Saya meminta masjid di bawah kelolaan JAKIM iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, selain seluruh masjid serta surau Jumaat di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAIWP) menunaikan solat hajat," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai mematuhi saranan Kementerian Kesihatan untuk mengelakkan penyahidratan dengan banyak meminum air, sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas sehari.

Othman juga mengingatkan supaya amalan meminum minuman manis atau berkafein dikurangkan kerana boleh meningkatkan pengeluaran air dari badan, sebaliknya mengambil banyak makanan mengandungi air seperti buah-buahan dan sayuran.

"Semoga pelaksanaan solat hajat ini di seluruh negara akan diberkati Illahi dan dapat memulihkan cuaca di negara kita," katanya.