DUBAI 14 Mac - Satu siasatan sedang dijalankan di Serbia selepas peluru berpandu tempur milik Amerika Syarikat dilaporkan dijumpai dalam penerbangan komersial Air Serbia di lapangan terbang Belgrade hujung minggu lalu.

Kedua-dua peluru berpandu pemusnah perisai itu lengkap dengan kepala peledak itu ditemui anjing pengesan selepas pesawat Air Serbia mendarat dari Beirut, Lebanon pada Sabtu, lapor AP memetik televisyen N1 Serbia.

"Kami mengesahkan bahawa kargo yang dibawa ke destinasi seterusnya, dipintas di Lapangan Terbang Belgrade pada Sabtu susulan langkah pemeriksaan keselamatan yang ketat. Syarikat penerbangan itu sedang membantu siasatan," kata seorang jurucakap Air Serbia kepada Gulf News melalui e-mel lewat semalam.

Peluru berpandu jenis AGM-114 Hellfire itu dijadual untuk dihantar ke Portland Oregon, lapor AP memetik media Serbia. Senjata buatan AS ini boleh dilancarkan dari udara, laut dan darat.

Air Serbia adalah syarikat penerbangan rasmi negara Serbia. Etihad Airways di Abu Dhabi memiliki 49 peratus saham dalam syarikat penerbangan itu dan mengawal pengurusan sehingga 2018. - Agensi