WASHINGTON 14 Nov - Donald Trump bertegas akan mengotakan janjinya menghantar pulang berjuta-juta pendatang haram di Amerika Syarikat.

Trump berkata, seramai tiga juta pendatang akan dihantar pulang sebaik saja beliau mula bertugas secara rasmi di Rumah Putih nanti.

"Apa yang akan kita lakukan adalah mencari penjenayah dan mereka yang mempunyai rekod jenayah, ahli kumpulan samseng dan pengedar dadah. Jumlah mereka ramai, mungkin dua juta, mungkin tiga juta.

"Kita akan keluarkan mereka dari negara ini atau penjarakan mereka," kata Trump dalam satu petikan temuramah beliau dalam program '60 Minutes' yang akan disiarkan stesen televisyen CBS pada Ahad. - AFP