SHANGHAI 17 Okt - China berjaya melancarkan misi angkasa kendalian manusia terbarunya hari ini dengan membawa dua angkasawan ke orbit, lapor media tempatan.

Angkasawan Jing Haipeng, 49, dan Chen Dong, 37, akan menghabiskan masa sebulan di makmal eksperimen ruang angkasa bagi menjalankan pelbagai kerja penyelidikan.

Makmal angkasa berkenaan adalah sebahagian daripada rancangan masa depan China untuk mempunyai stesen angkasa kendalian manusia kekal yang dijangka berfungsi sepenuhnya sekitar 2022.

Shenzhou 11 dilancar menggunakan roket Long March pada jam 7.30 pagi tadi (waktu tempatan) dari tapak pelancaran terpencil Jiuquan, dekat gurun Gobi, menerusi imej yang disiarkan secara langsung di televisyen negeri. - REUTERS